Memperkenalkan Aksiz – Portal Untuk Permainan Video, Dalam Bahasa Malaysia

Liputan permainan video bukan sesuatu yang baru di Amanz. Walaubagaimanapun, di Amanz, kami hanya meliputi kandungan permainan video dengan terhad, dan tertumpu kepada beberapa tajuk popular sahaja. Melalui Aksiz, kami mengubah perkara ini dengan turut meliputi sejumlah besar tajuk permainan video seluruh dunia, tidak kira yang popular atau sebaliknya pada konsol, PC – termasuk permainan indie dan juga permua.


Kenapa Aksiz

Kami sudah bermain permainan video melebihi tiga dekad dan selama tiga dekad lamanya berita-berita terkini industri ini hanya kami temui dalam bahasa Inggeris. Kami sudah lama menyedari terdapat kekosongan ini dan hasilnya ialah kemunculan Aksiz. Laporan berita permainan video dalam bahasa Malaysia yang terkini, lengkap, informatif  dan paling penting sekali percuma boleh diakses oleh semua sepanjang masa.

Aksiz Logo

Dengan sidang redaksi yang mempunyai pengalaman terkumpul terlibat di dalam dunia permainan video hampir 100 tahun, kami percaya kami mampu menghasilkan kandungan yang berkualiti. Pada waktu yang sama menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium untuk melaporkan mengenainya. Di Aksiz laporan berita permainan video bukan lagi main-main.


Rekaan Antaramuka Dan Bacaan Yang Dioptimasikan Untuk Semua Peranti

Aksiz

Aksiz menggunakan rekaan yang lebih kurang sama seperti Amanz – dimana ia dioptimasikan untuk memudahkan pembacaan, tanpa mengira sebarang peranti yang anda gunakan. Buat masa ini, Aksiz turut telah mengaktifkan penggunaan Google AMP bagi akses yang sangat pantas melalui enjin carian dan beberapa aplikasi yang menyokongnya (seperti Twitter). Kami juga akan mengaktifkan sokongan Facebook Instant Articles pada Aksiz tidak lama lagi.

Disamping itu, sejumlah ciri-ciri baru juga turut dirancang pada laman Aksiz – termasuk untuk memaparkan jadual dan skor berkaitan e-sukan, kemudahan mengetahui permainan baru yang bakal dilancarkan, dan beberapa yang lain.

Dari masa ke semasa juga, kami akan terus mengoptimasikan laman Aksiz untuk sejumlah kandungan pada web berkenaan untuk membolehkan laman untuk diakses dengan lebih pantas.


Komuniti Yang Anda Kenali

AmanzMEAksiz menggunakan sistem komentar dan komuniti yang serupa dengan Amanz. Ini bermakna, anda boleh log masuk menggunakan akaun AmanzME sedia ada untuk meninggalkan komen dan berinteraksi dengan rakan-rakan lain. Anda juga turut boleh mengikuti notifikasi balasan atau mention antara kedua-dua laman dengan mudah – tidak kira sama ada anda berada di Amanz atau Aksiz.


Apa seterusnya?

Aksiz akan terus berevolusi seperti Amanz, dimana kami akan menambah lebih banyak kandungan yang menjadikannya berbeza dengan portal-portal lain – termasuk permainan percuma yang anda boleh cuba setiap hari, ulasan permainan, kandungan video, dan sebagainya – termasuk aktiviti “bukan digital”.

Aksiz Logo

Untuk Amanz sendiri, selepas ini kami menyasarkan sebuah portal khusus memfokuskan topik Sains, selain turut akan meneruskan pembangunan dan penambahan kandungan berbentuk pembelajaran dibawah Qibod. Kami juga akan terus menambah-baik sistem AmanzME dari masa ke semasa.

Seperti biasa, jangan lupa berikan sebarang maklumbalas melalui ruangan komen dibawah, atau turut boleh emelkan kepada kami di ask@amanz.my.


Layari : Aksiz.com


EmoticonEmoticon